Tips Panduan Keselamatan Ketika Ribut Petir Dan Kilat
Apa yang perlu anda lakukan ataupun elak ketika ribut petir dan kilat ?. Di Malaysia, ribut petir merupakan satu fenomena biasa yang berlaku sepanjang tahun dan selalunya berlaku pada waktu petang dan awal senja. Walaupun secara relatifnya ia bersaiz kecil, tetapi semua ribut petir adalah merbahaya. Setiap ribut petir menghasilkan kilat yang boleh mengancam nyawa manusia.
Tips Panduan Keselamatan Ketika Ribut Petir Dan Kilat
Hujan lebat daripada ribut petir boleh mengakibatkan banjir kilat dan tanah runtuh. Angin kencang dan hujan batu yang dikaitkan dengan sesetengah ribut petir juga adalah berbahaya.
Apakah ribut petir?
Ribut petir ditakrifkan oleh Pertubuhan Meteorologi Sedunia (WMO) sebagai kejadian satu atau lebih nyahcas elektrik secara tiba-tiba yang menghasilkan lintasan cahaya (kilat) dan bunyi gemuruh (guruh).
Ribut petir berpotensi untuk menghasilkan hujan batu, hujan lebat, kilat sabung menyabung dan angin langkisau. Sesetengah keadaan cuaca yang sangat buruk boleh terjadi apabila kelompok ribut petir melanda sesuatu kawasan untuk tempoh yang panjang.
Kilat
Udara yang turun naik di dalam awan ribut petir mengakibatkan pemisahan cas positif dan cas negatif. Kilat adalah nyahcas yang terhasil apabila perbezaan cas elektrik di antara permukaan bumi dan atmosfera cukup besar untuk mengatasi kesan penebatan udara. Kilat boleh terjadi samada di dalam awan, dari awan ke awan, atau antara awan dengan permukaan bumi. Kilat kerap menyambar di luar kawasan hujan lebat dan boleh berlaku sejauh 10 batu dari kawasan hujan tersebut.
Udara berhampiran kawasan yang dipanah kilat menjadi panas dan mencapai suhu melebihi 27,000°C – iaitu lebih panas daripada permukaan matahari. Pemanasan dan penyejukan cepat udara berhampiran kawasan yang terkena kilat menghasilkan rencatan gelombang yang mengejut lalu menghasilkan guruh.
Kilat boleh menyebabkan kerosakan peralatan elektrik yang terpasang dan boleh mencetuskan kebakaran. Kebanyakan kematian dan kecederaan akibat daripada kilat terjadi kepada mereka yang berada di luar bangunan.
Tempoh ribut petir kerap berlaku
Ribut petir boleh berlaku sepanjang tahun tetapi lebih kerap semasa tempoh antara monsun iaitu dari April hingga Mei dan dari Oktober hingga November. Di daratan, ribut petir lazimnya terjadi pada waktu petang dan senja manakala di lautan, ia kerap berlaku pada sebelah malam. Di Malaysia, Subang merekodkan mengalami jumlah ribut petir paling tinggi diikuti oleh Bayan Lepas dan Kluang.
Keselamatan semasa ribut petir dan kilat
Sebelum Ribut Petir
- Semak ramalan cuaca sebelum keluar untuk tempoh yang lama.
- Lihat sebarang tanda-tanda kedatangan ribut jika ada.
- Tangguhkan sebarang aktiviti luar jika ribut petir dijangka akan berlaku.
Semasa Ribut Petir
- Masuk ke dalam bangunan kukuh atau kereta. Jangan berteduh di tempat yang kecil atau di bawah pokok yang terpencil.
- Jika berlaku kilat dan tiada tempat berlindung kukuh, masuk ke dalam kereta dan tutup tingkap.
- Keluar dari bot dan jauhi air.
- Talian telefon dan paip logam boleh mengalirkan elektrik. Hindari daripada menggunakan telefon atau sebarang kelengkapan elektrik. Guna telefon hanya semasa kecemasan. Cabut palam kelengkapan elektrik yang tidak digunakan.
- Jangan mandi.
- Tutup penyaman udara. Luruan kuasa kilat boleh memberikan beban lebih pada pemampat.
- Jika memandu di lebuhraya dan jejantas, berwaspada dengan angin kencang.
- Pindah ke tempat yang lebih tinggi jika banjir kilat dijangka berlaku.
Jika terperangkap di luar bangunan dan tiada tempat berlindung.
- Berteduh di tempat rendah yang tidak banjir yang jauh dari pokok, pagar dan tiang.
- Jika berada di dalam hutan, berteduhlah di bawah pokok yang lebih rendah.
- Jika didapati kulit kita terangsang atau rambut kita menegak, mencangkunglah ke tanah. Letakkan tangan di lutut dengan kepala di antara kedua-dua lutut. Jadikan badan sekecil mungkin dan kurangkan daripada menyentuh tanah.
- Jika anda sedang berperahu atau berenang, kembali ke daratan dan cari tempat berlindung dengan segera.
kredit : Jabatan Meteorologi Malaysia
Post a Comment