Anak Lewat Bercakap
Anak Lewat Bercakap. Tiada kaitan jantina, mungkin petanda anak alami masalah pendengaran, autisme. SEAKAN wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap.
Anak Lewat Bercakap
Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?
Mengajukan persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Basyariatul (Basha) Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah mitos.
“Kanak-kanak yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk pemilihan permainan.
“Budak perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu proses pembinaan pertuturan,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
Menurutnya, sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ daripada mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.
“Justeru saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepat mereka belajar perkataan baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.
Namun, bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?
“Kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami masalah.
“Masalah bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan Bahasa kerana dalam setiap kes dirujuk, kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.
Apakah bezanya antara masalah bercakap dengan pertuturan? Katanya masalah lambat cakap dikaitkan pelbagai faktor komunikasi termasuk kurang rangsangan untuk bercakap.
Bagi masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan bahasa.
Jelasnya seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata – kata membebel atau ‘baby talk’ seperti ‘aa’, ‘aa’, ‘ahggege’, ‘bababa’, ‘dededed’, ‘mamamam’, ‘nanana’ dan seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.
Mengenai kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr. Basha berkata, ia tidak semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu membezakan bahasa bila sampai masanya.
Pada peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak bahasa.
Tidak dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap.
“Untuk mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.
“Jika ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahaminya sudah tentulah akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka. Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak. Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak -kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.
“Sebetulnya selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa optimum,” katanya.
Jelasnya masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.
“Segeralah merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak. Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai masalah berkaitan.
FAKTA: Klinik Audiologi & Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur
Ia adalah klinik pengajaran bagi mahasiswa UKM yang diselia oleh audiologis dan terapi patologis pertuturan-bahasa yang bertauliah.
Menyediakan kepakaran dalam menilai, mencegah serta mengendalikan masalah pendengaran dan komunikasi.
Menyediakan kelengkapan peralatan klinik yang canggih.
Antara klinik pendengaran dan pertuturan terawal ditubuhkan dan masih menjadi pusat rujukan utama dalam negara.
Tel : 03-92895040/92895041.
Sumber :
Berita Harian
Selasa, 20/03/2012
Anak lewat cakap
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
Post a Comment