Apa itu Kencing Manis Diabetes
Kencing Manis / Diabetes
Kencing Manis
Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina, dan Yunani (Greek). Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada 1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing manis kepada dua semenjak abad ke lima lagi.
Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut. Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing tersebut mengidap kencing manis.
Walaupun penyakit kencing manis telah lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glokos dalam darah.
Insulin
Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets (kepulauan kecil). Insulin bertugas untuk menceranakan glukos dan bertindak membenarkan glukos dalam darah menembusi dinding sel.
Tanda-tanda kencing manis adalah seperti berikut :-
- Sering dahaga dan sering perlu minum air.
- Sering ketandas.
- Terasa badan lemah.
- Berat badan turun dengan cepat
- Penglihatan semakin kabur.
- Terasa pening kepala.
Kadang-kala pengidap kencing manis tidak menunjukkan sebarang tanda. Hanya dengan pemeriksaan doktor dapat menunjukkan dan mengesan kencing manis pada peringkat awal. Bagi mereka yang berisiko tinggi, mereka perlu menjalani pemeriksaan untuk mengesan kencing manis sekali setiap tahun.
Golongan Berisiko Tinggi.
Mereka yang dikelaskan dalam kumpulan risiko lebih tinggi adalah :-
- Mereka yang mempunyai keturunan yang mengidap Kencing Manis (Ibu bapa, adik-beradik)
- Mereka yang berat badan agak tinggi
- Mereka yang pernah mempunyai radang pada Pancreas
- Wanita mengandung yang pernah menghadapi kencing manis ketika hamil.
Bagaimanapun penyakit kencing manis mampu menyerang sesiapa juga pada semua peringkat umur sekiranya permakanan dan minuman tidak dijaga.
Mengesan Kencing Manis
Kencing Manis dapat dikesan dengan ujian air kencing atau ujian darah. Ujian darah amat mudah digunakan dan dapat mengukur kadar gula dalam darah dengan tempoh beberapa minit sahaja. Selain itu terdapat ujian daya tahan glukos dimana pesakit akan disureh meminum minuman bergula dan mereka diuji untuk memastikan peningkatan kadar glukos. Selain itu ujian puasa glukos di mana mereka yang diuji akan dilarang makan atau minum semalaman sebelum mereka diuji untuk menentukan kadar glukos mereka.
Mengelak Kencing Manis
Perubahan cara hidup
Perubahan cara hidup mampu mengelakkan kencing manis terutama pada mereka yang mempunyai kecacatan daya tahan glukos (Impaired glucose tolerance – IGT), atau kecacatan puasa glukos (impaired fasting glucose – IFG). Kajian menunjukkan kedua-dua keadaaan merupakan tanda awal kencing manis tetapi mampu diterbalikkan dengan kawalan permakanan yang betul.
Selain itu, tidak salah bagi mereka yang tidak mempunyai masalah awal untuk turut serta mengambil langkah berjaga-jaga untuk mengelakkan kencing manis dengan melakukan beberapa perkara iaitu: –
Pemakanan
Ramai berpendapat bahawa pemakanan hanya merangkumi pemakanan gula sahaja. Tetapi walaupun pemakanan gula seharusnya disekat, ini tidak bermakna makanan-makanan lain kesemuanya dapat dimakan seberapa banyaknya. Pemakanan seharusnya dikurangkan kerana selain daripada gula, bahan-bahan karbohidrat yang lain juga seharusnya dikurangkan. Ini adalah kerana kadar kalori pada sesehari itu seharusnya dikurangkan. Untuk kepastian bahawa pemakanan yang dimakan tidak melebihi batas. Catatkan apa yang sering dimakan dalam sehari dan bincangkan dengan doktor.
Senaman
Senaman juga penting tetapi ianya perlu dimulakan secara beransur-ansur dan dengan nasihat doktor. Senaman berfungsi dengan tiga cara iaitu membantu menggunakan kalori yang lebih yang mungkin dimakan, membantu mengurangkan berat badan dan akhir sekali dapat juga menambahkan kesihatan jantung dan paru-paru (cardiorespiratory) kita. Satu kajian mengenai kencing manis dalam tempoh 3 hingga 6 tahun mendapati senaman seperti berjalan selama 2 1/2 jam dalam tempoh seminggu boleh mengurangkan perkembangan diabetis sebanyak 40% – 60%.
Penjagaan Berat Badan
Telah dikenali yang mereka yang berat badan tidak tinggi lebih mudah dikawal taraf gula di dalam darah mereka dan dengan itu ubat dapat dikurangkan. Setengah-setengah dari pesakit kencing manis dapat menghentikan ubat kesemua sekali setelah berat badan dapat dikawal.
Pemeriksaan Diri Sendiri
Seseorang itu seharusnya berwaspada tentang apa-apa perubahan pada badan mereka iaitu dari segi kulit (lagi-lagi pada bahagian kaki), rasa sebal/kebas pada hujung jari tangan atau kaki dan apa-apa perubahan lain yang dirasakan. Selain dari itu, pemeriksaan oleh doctor untuk memastikan kadar gula dalam darah mesti terus dijalankan.
Pemeriksaan oleh Doktor Secara Tahunan
Ujian berkala secara tetap terutama mereka yang berisiko tinggi mampu mengesan kencing manis pada peringkat awal. Ini membolehkan pengidap kencing manis mengambil langkah awal untuk merawat diri mereka. Dianggarkan bagi setiap 1% pengurangan kadar ujian darah A1C, mampu mengurangkan masalah berkait kencing manis sebanyak 40%. Selain itu rawatan awal kencing manis juga mampu mengurangkan 30% hingga 70% kegagalan buah pinggang berfungsi. Penjagaan anggota kaki tangan mampu mengurangkan kes anggota badan perlu dipotong disebabkan komplikasi jangkitan sebanyak 45% – 85%.
Pengambilan Ubat
Pengambilan ubat untuk mengelakkan kencing manis masih diperingkat kajian di Amerika Syarikat. Ubat seperti metformin didapati mengurangkan peratusan mengidap kencing manis sebanyak 31%. Rawatan menggunakan metformin lebih berkesan bagi mereka yang berusia muda, dan gemuk. Rawatan metformin kurang berkesan pada mereka yang normal untuk mengelakkan kencing manis.
Sumber : PMR
Post a Comment