Apa Perlu Buat Sekiranya Anak Demam ?





Apa Perlu Buat Sekiranya Anak Demam ?. Semua yang bergelar ibu bapa tak akan pernah terlepas dengan keadaan di mana anak mereka demam. Lebih-lebih lagi dalam usia mereka membesar. Demam bukan sahaja memberikan kepayahan kepada anak yang mengalaminya tetapi juga ibu bapa yang turut merasa payah mengendalikannya.

Apa Perlu Buat Sekiranya Anak Demam ?

demam

1. Demam sendiri bukanlah penyakit
Satu perkara yang kita perlu tahu demam bukanlah penyakit yang tidak boleh tidak, perlu dihapuskan serta merta. Demam adalah tindak balas badan menaikkan suhu badan untuk melawan penyakit, Puncanya ada banyak: bakteria, virus dan lain-lain lagi. Apabila badan kita menaikkan suhu ini sekaligus meransang tindak balas immuniti kita untuk melawan penyakit. Demam jarang sekali memberikan kesan yang serius dengan syarat puncanya diketahui dan kanak-kanak tersebut mendapat air yang secukupnya.

2. Yang bahaya itu hyperthermia bukan demam
Demam adalah tindak balas dalam badan yang dikawal oleh bahagian pituitari, badan kita tidak akan menaikkan menaikkan suhu sesuka hati dan dalam keadaan demam tindak balas badan kita untuk menyejukkan badan masih ada.

Berlainan dengan hyperthermia di mana suhu badan kita naik mendadak lebih daripada 42 degree celcius, keadaan ini lebih bahaya disebabkan oleh sebab-sebab luaran seperti terdedah kepada persekitaran suhu yang panas atau heat stroke.

3. Jadi nak buat apa kalau anak demam?
Pertama sekali jangan panik dan terus menyayangi anak anda seperti biasa. Kalau kita panik, keputusan yang kita buat pun melulu dan bakal merungsingkan keadaan. Yang paling penting sekiranya anak anda demam adalah nutrisi semasa mereka demam, pastikan anak anda mendapatkan makanan berkhasiat secukupnya dan minum air secukupnya; malah ini lebih penting daripada memberi ubat demam. Keduanya, kenal pasti tanda-tanda bahaya seperti anak menjadi lemah, muntah tidak berhenti, tidak mahu senyum, tidak mahu bermain lagi, sawan, bintik-bintik merah dan demam berpanjangan selama-lama beberapa hari; kanak-kanak perlu dibawa berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

4. Bila nak beri ubat demam/paracetamol/ panadol?
Paracetamol seperti ubat-ubat lain perlu diberi mengikut indikasi. Meskipun ubat ini antara ubat yang selamat dan telah lama dan banyak digunakan (yang mengatakan ubat ini terus boleh sebabkan sakit buah pinggang dan hati serta merta adalah mitos) namun ini bukan bermakna ubat ini boleh diberikan sesuka hati. Cara pemberian ubat paracetamol yang betul dan optimum adalah mengikut arahan dan jumlah yang diberikan oleh doktor dan farmasi. Pemberian kurang dos tidak akan mengurangkan demam dan sakit dan pemberian dos berlebihan boleh menyebabkan bahaya keracunan.

Ubat paracetamol seharusnya diberikan apabila anak yang demam itu tidak selesa, mengadu sakit, kurang bermaya, ataupun demam yang sangat tinggi (40 darjah celcius dan ke atas). Ubat paracetamol ini diberikan supaya kanak-kanak ini lebih selesa dan membantu mereka untuk minum dan makan seperti biasa.

Ubat paracetamol juga disarankan untuk diberikan kepada kanak-kanak yang masih kecil, kekurangan zat makanan, mempunyai penyakit lain seperti sakit jantung atau mempunyai penyakit jangkitan paru-paru seperti radang paru-paru ataupun bronchiolitis.

Sekiranya kanak-kanak tersebut sibuk bermain, aktif, geligat, makan dan minum seperti biasanya sebenarnya ubat paracetamol tidaklah sangat diperlukan. Tapi ingat! sentiasa waspada sekiranya ada tanda-tanda bahaya pada anak seperti yang saya nyatakan sebelum ini.

5. Kalau tak bagi ubat demam, nanti anak saya kena sawan!
Perlu diingatkan ubat demam hanya ubat mengurangkan demam dan sakit tapi ia bukan ubat yang boleh mengelakkan berlakunya sawan atau febrile fit. Kajian systematic review cochrane juga mengatakan paracetamol tidak dapat dibuktikan lebih baik untuk mengelakkan berlakunya sawan berbanding dengan placebo.

Kebanyakan sawan adalah Simple febrile fit (berlaku sekali sahaja, kurang daripada 15 minit, tidak lebih satu episod setiap 24 jam). Risiko untuk sawan ini berulang adalah untuk kanak-kanak yang ada sejarah keluarga sawan, demam suhu rendah ketika sawan dan umur kurang daripada satu tahun).

Kalau berlaku sawan jangan panik, iringkan ke sebelah kiri atau kanan,elakkan kanak-kanak daripada mencedarakan diri dan kemudian bawa ke hospital untuk pemeriksaan. Jangan risau, anda masih ibu bapa yang baik walaupun anak anda mengalami febrile fit.

Kesimpulannya
Gunakan ubat paracetamol sebaiknya mengikut saranan. Janganlah tidak beri lansung bila anak anda memerlukan. Jangan pula terlalu panik hinggalah menyangka paracetamol itu umpama makanan ruji yang perlu diberi sepanjang masa apabila anak anda demam ataupun sehingga memberikan beberapa ubat demam sekaligus. Apa yang lebih penting ketika mereka demam adalah rawatan ke atas punca, kenal pasti tanda-tanda bahaya dan nutrisi yang secukupnya ketika mereka demam.

Kredit : Dr Fadly Khairie
Doktor Kesihatan Awam
Medical Mythbusters Malaysia

Reference:
1. Fever in under 5s: assessment and initial management. NICE Guideline UK. https://www.nice.org.uk/guidance/cg160
2. Paracetamol for treating fever in children. Cochrane Database Systematic Review. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pubmed/12076499
3. Febrile Seizures: Risks, Evaluation, and Prognosis. American Family Physician. https://www.aafp.org/afp/2012/0115/p149.html
4. Fever management: Evidence vs current practice. World Journal of Clinical Pediatric. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC4145646/

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.