Apa Itu Buasir dan Penyebab
Apa Itu Buasir dan Penyebab
Apa Itu Buasir ?
Buasir adalah pembengkakan pada vena yang terletak di
bahagian rektum dan dubur. Apabila vena ini membonjol
keluar ia mengganggu dan menyebabkan membran di
sekitarnya membengkak, terasa sakit, perit, gatal
dan berdarah. Buasir terjadi disebabkan oleh terlalu
banyak tekanan di bahagian rektum, menyebabkan dinding
vena darah teregang atau memberi dan membonjol.
Kadangkala ianya boleh pecah.
Ada dua jenis buasir : Dalaman dan Luaran
Buasir Dalaman:
Lazimnya, buasir ini tidak terasa sakit dan gatal
kerana ia terletak jauh ke dalam rektum. Buasir dalaman
tidak merbahaya tetapi meneran dan gangguan dari
laluan najis semasa membuang air besar boleh
mencederakan permukaan buasir yang getas dan menyebabkannya
berdarah. Anda akan terlihat titisan darah yang berwarna merah
cerah pada kertas tisu atau di mangkuk tandas. Jika keadaan
ini berlaku anda perlu mendapat bantuan perubatan, kerana
darah tersebut mungkin datang dari sumber lain seperti
ketumbuhan atau kanser kolorektum.
Buasir Luaran
Buasir jenis inilah yang selalu kita dengar mengakibatkan
gejala-gejala seperti sakit, pedih dan gatal di dubur.
Jika buasir ini tersepit (bekalan darah akan terputus),
bekuan darah akan terjadi di dalamnya menyebabkan ia
terasa amat sakit.
Gejala-gejala beginilah yang menyebabkan buasir jenis ini
memerlukan perhatian dan rawatan perubatan. Apabila sahaja
salur darah vena rektum teregang atau memberi dan terjadinya
buasir adalah sukar untuk ia dibuang atau ditanggalkan
sepenuhnya. Buasir ini akan berulang kembali walaupun
dengan tekanan atau bebanan yang lebih ringan berbanding
dengan yang dahulunya.
Penyebab Utama Buasir
– Sentiasa duduk
– Meneran (ketika najis keras atau sembelit)
– Cirit-birit
– Duduk mencangkung di dalam tandas terlalu lama
– Batuk yang teruk
– Bersalin
– Mengangkat berat
Pencegahan Buasir
Mengelak dari melakukan perkara-perkara di atas
boleh mencegah anda dari buasir.
Amalkan petua-petua berikut:
Jika pekerjaan anda memerlukan anda sentiasa duduk,
sekali-sekala anda perlu bangun dan berjalan-jalan
sekurang-kurangnya 5 minit setiap jam.
Bergerak-geraklah di kerusi anda supaya dapat
mengelakkan tekanan langsung dari rektum.
Hembuskan nafas keluar apabila anda ketegangan
atau ketika mengangkat sesuatu.
Jangan menahan nafas anda.
Dapatkan rawatan awal untuk mengawal batuk,
cirit-birit dan sembelit anda kerana buasir selalunya
terjadi selepas masalah ini berpanjangan.
Jadikan sebagai satu peraturan:
– Jangan membaca atau berehat-rehat di dalam tandas.
– Jika pergerakan usus anda mengambil masa lebih dari 3-5 minit,
ada sesuatu yang tidak kena. Jika anda ingin menghindari
diri dari buasir, amalkan tabiat membuang air besar yang baik.
– Pastikan najis anda sentiasa lembut
Jika langkah-langkah ini gagal anda perlu bertindak segera.
Sembelit merupakan satu keadaan di mana pada waktu pagi
keadaannya adalah sederhana tetapi apabila menjelang malam
ia boleh menjadi amat mengazabkan.
BILAKAH ANDA PERLU BERJUMPA DOKTOR?
Rawatan yang agresif seperti yang dinyatakan di atas
sepatutnya boleh menyembuhkan buasir dalam beberapa
hari sahaja. Tetapi ia mungkin mengambil masa
2 – 4 minggu untuk pulih sepenuhnya. Jika tidak,
anda perlu berjumpa doktor semula dan berbincang
dengannya. Masalah-masalah perubatan penyakit
keradangan usus atau jangkitan usus boleh menyerupai
gejala-gejala buasir. Oleh itu, jika keadaan anda masih
berterusan walaupun telah mendapat rawatan asasnya,
anda perlu berjumpa doktor.
PENGURUSAN SENDIRI
– Banyak meminum air sekurang-kurangnya
1.5 – 2 liter sehari
– Makan makanan seimbang: banyakkan memakan makanan
yang tinggi serat, bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran.
– Gunakan tandas pada masa yang ditetapkan seperti
selepas bangun tidur setelah meminum segelas besar air.
– Elakkan dari memakan makanan yang boleh menyebabkan
gangguan (makanan pedas atau berempah, alkohol)
atau yang boleh merangsangkan usus (kopi atau teh).
Apabila terdapat gejala-gejala tertentu
(seperti darah dalam najis,sakit atau gangguan pada dubur),
berjumpalah doktor.
Sumber : Kementerian Kesihatan Malaysia
Post a Comment