Tabiat Merokok Meningkatkan Risiko Jangkitan Covid-19





Tabiat Merokok Meningkatkan Risiko Jangkitan Covid-19. Tembakau membunuh lebih 8 juta orang di seluruh dunia setiap tahun. Daripada jumlah ini, lebih 7 juta kematian adalah disebabkan penggunaan tembakau secara langsung dan sekitar 1.2 juta adalah disebabkan bukan perokok yang terdedah kepada asap rokok terpakai (secondhand smoke).

Tabiat Merokok Meningkatkan Risiko Jangkitan Covid-19

rokok merbahaya
rokok merbahaya

Sempena Sambutan Hari Tanpa Tembakau yang diraikan pada 31 Mei setiap tahun, tahun ini Hari Tanpa Tembakau di Malaysia adalah bertemakan “Generasi Muda Mesti Dilindungi”.

Selain generasi muda, KKMmenyeru semua peringkat dan lapisan masyarakat menghindari diri daripada tabiat merokok. “Berhentilah merokok…anda lebih sihat”.

Tabiat merokok telah terbukti mengakibatkan pelbagai jenis penyakit serta boleh melemahkan sistem imuniti manusia, sekaligus meningkatkan risiko terhadap jangkitan bakteria dan virus terutama sekali semasa wabak COVID-19.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) melalui kenyataan yang telah
dikeluarkan pada 27 Mei 2020 dan disokong dengan beberapa kajian yang dijalankan di luar negara mendapati golongan perokok adalah berisiko tinggi untuk mendapat komplikasi yang lebih teruk jika dijangkiti virus COVID-19.

COVID-19 adalah penyakit berjangkit yang menyerang terutamanya paru-paru. Merokok merosakkan fungsi paru-paru, justeru menjadikan badan kita lebih sukar untuk melawan koronavirus dan penyakit- penyakit lain.

Terkini Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau NHMS 2019 yang dilancarkan baru-baru ini, iaitu pada 29 Mei 2020 menunjukkan prevalen rakyat Malaysia yang menghidap darah tinggi adalah sebanyak 30 peratus dan penyakit kencing manis adalah sebanyak 18.3 peratus.

Golongan ini berisiko untuk mendapat komplikasi yang teruk sekiranya dijangkiti COVID-19. Apatah lagi jika mereka mempunyai risiko tambahan seperti amalan merokok. Melalui NHMS 2019 juga, memandangkan 21.3 peratus rakyat Malaysia dianggarkan merokok, maka mereka lebih terdedah kepada risiko komplikasi COVID-19 berbanding mereka yang tidak merokok.

Penelitian dan analisa awal berkaitan sejarah merokok dan faktor risiko penyakit tidak berjangkit ke atas 86 pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia di Malaysia, didapati 19.8 peratus (iaitu 17 orang) adalah terdiri daripada golongan perokok.

Analisa juga mendapati bahawa bagi kes kematian COVID-19 yang tidak mempunyai sejarah penyakit kronik tetapi merokok, jumlah kematiannya adalah lebih tinggi berbanding kes kematian COVID-19 yang bukan perokok (17.6 peratus berbanding 12.1 peratus.

Sepanjang tempoh PKP dan PKPB, seramai 400 orang perokok telah mendaftar bagi mendapatkan bantuan berhenti merokok atas talian dan lebih 5,000 orang telah melayari laman sesawang www.jomquit.moh.gov.my.

Angka ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan kesedaran dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan perokok tentang bahaya merokok.

KKM berharap agar lebih ramai lagi perokok proaktif dan mengambil tanggungjawab untuk bertindak segera demi menjaga kesihatan diri sendiri serta melindungi orang yang dikasihi terutamanya warga emas dan kanak-kanak.

kredit : FB KKM

Tiada ulasan

Dikuasakan oleh Blogger.