Selamat Hari Ibu - Rentetan Peristiwa Silam
Selamat Hari Ibu
Sempena Hari Ibu 13 Mei 2012
Bayu menyanyi menerobosi kesunyian malam, aku duduk termanggu mengenangkan peristiwa lama,kenangan lalu yang masih terpahat di hati, wajah itu perlahan lahan muncul di dalam anganku, oh tuhan, sungguh ku rindukan belaian dan kasih sayangmu, lama sudah kita terpisah, manakan mungkin ku lupakan kau ibuku, bertintakan air mata ku ukir sebuah nukilan hati yang tak mungkin hilang dari lubuk sanubari, semuanya untukmu ibuku..
********************************************************************************
Jam tepat menunjukkan pukul 4.30 petang, kakiku melingas ingin melangkah keluar daripada ruang rumah untuk bermain layang-layang bersama temanku, “ko nak pergi mana? Ko tak nampak jam baru pukul berapa!!?” tajam suaranya sambil menjeling sinis ke arahku.. ah, hampa! Rupa-rupanya pergerakanku sedang diperhatikan olehnya, ku usap layang-layang yang dibelikan ayah, hatiku meronta, aku teringin terbangkan layang-layang ini nun jauh di atas sana, mana mungkin terjadi jikalau kakiku dirantai di dalam ini, otak geligaku pantas mencari solusi untuk keluar segera daripada rumah, berputar dan terus berputar…hampa..”ibu tak sayang Along, kawan sebelah mak dia tak pernah pun nak marah-marah keluar pukul berapa pun, orang nak main pun tak boleh!” protesku dalam sepi.. angan layang-layangku terbang ditiup hembusan angin..
Kedua-Dua Ibu Jari Kakinya Diikat Perca Kain Putih
Ketegasan ibu sering menjadi kegusaran hati, siapa yang tidak kenal dengan ibu, seorang pendidik yang sangat tegas di dalam mendidik anak bangsa, pabila marah, suaranya umpama ngauman singa, pabila tersenyum indahnya seperti bulan penuh di malam hari, kami empat beradik sangat takut dengan ibu, baginya, jikalau seorang daripada kami membuat kesilapan, semua mendapat habuan, tidak adil. Sakit…
Birat di badan sudah menjadi makanan, lagi-lagi anaknya yang antagonis ini, sudah biasa bagiku menerima sebatan dan libasan tali pinggang, sudah penat aku berlari-lari bagi mengelakan diri dari dibedal ibu,keperibadian ibu amat berbeza dengan ayah yang lembut serba serbinya, Setiap seorang daripada kami diberikan tanggungjawab harian yang perlu disempurnakan, contohnya tugasan bagiku, semenjak kecil,setiap malam aku wajib menyalakan ubat nyamuk Fumakkila sebanyak 3kepingan di dalam rumah, menyapu sampah tepat pukul 9pagi, menyiapkan kerja-kerja sekolah setiap malam walaupun sudah siap. (tak tau aku siapkan ape lagi). “pergilah suruh angah, dia bukan buat apa pun,Along jer kene buat semua nie hari-hari,entah apa-apa” monologku sendirian. Ibu hanya tersenyum manis di depan timbunan kain yang sedang dilipatnya tatkala melihatku terkinja-kinja meleraikan kepingan ubat nyamuk, hatiku berbulu.
Deretan kereta memenuhi setiap pelusuk laman rumah.
Aku leka memakan tomyam yang disediakan ibu,usai sahaja pulang dari sekolah,lauk pauk sudah menantiku di rumah, tanggungjawab yang dipikul oleh ibu tidak pernah diabaikan walaupun sesibuk mana ibu bekerja,Sedang ku lahap meratah ayam tiba-tiba,“Along,petang nanti ikut ibu pergi kedai baju, ibu nak tempah baju melayu untuk Along”, ujar ibu tenang, “Hah? Rasanya raya dah lama lepas, mengapa nak tempah baju melayu? Ibu nak tempah baju melayu nak suruh standby raya tahun depan ke? Colour ape bu? Seluar dia ada kocek tak? Nanti ajak angah,epi ngan ami sekali kan? Along nak baju Melayu yang macam kungfu malam tadi kat TV2 tue tau”petahku berbicara, “Ko ikut jelah, nak buat baju pun susah!” jerkah ibu, ok, fine, aku diam. Baju melayu pun baju melayulah. Ku hirup perlahan tomyam air tangan ibuku perlahan. Nyum Nyum..
2bulan kemudian.
“Beliau telah mengharumkan nama sekolah bagi pertandingan catur di peringkat kebangsaan, menjadi johan bagi pertandingan bercerita peringkat negeri, mewakili sekolah di dalam pasukan bola sepak peringkat daerah, menjadi Pengerusi Kelab Bahasa Melayu, Pengerusi Kelab Catur dan Ajk Tertinggi Badan Pengawas, walaupun berbadan kecil, bakat yang dimilikinya cukup besar, dengan ini saya mempersilakan Ahmad Shafiq Othaman untuk menerima Anugerah Tokoh Murid Sekolah Kebangsaan Simpang Renggam tahun 2000 di atas jasa yang telah disumbangkan kepada sekolah!” wajah polosku tergamam! Patutlah ibu beria ia menyuruhku memakai baju melayu yang ditempahnya dahulu, gemuruh tepukan bergema di dalam dewan, dari jauh ku lihat ibu menyeka air mata, bangga melihat pencapaian anak yang sering dilibas dan dibedalnya. Jiwa kecilku gembira kerana mendapat Piala kerana bagiku ketika itu, Piala lebih penting, sungguh tidak matang!
Haruman Kasturi dan Kapur Barus Menusuk Hidung.
“Ibu! Along dapat sambung belajar masuk asrama!, lepas nie Along dah tak pasang ubat nyamuk lagi, Along dah tak kene libas lagi, Along dah besar! Hehehehe! Padan muka ibu tak dapat kejar Along lagi” ujahku kepada ibu sinis, Padaku, selepas ini aku bebas untuk main layang-layang, bebas untuk keluar pada bila bila masa, bebas untuk beli apa-apa sahaja, oh sungguh indahnya, tanpaku sedari titik hitam bermula seawal ku menapak keluar daripada pintu rumah. Aku tidak cukup bersedia untuk berjauhan dengan limpahan kasih sayang libasan ibu, aku tidak cukup bersedia meninggalkan tugasan harianku, aku tidak cukup bersedia untuk berlari-lari dari dibedal ibu, sepi.. bermulalah detik di mana ku rindukan belaian seorang ibu.
Kehidupan di asrama mengajarku erti berdikari, tiada lagi baju yang boleh dicampak-campak sesuka hati, tiada lagi kereta menjadi pengangkutanku pergi dan balik sekolah, tiada lagi kerja rumah yang ingin disiapkan walaupun sudah siap, diriku berubah bertemankan rakan-rakanku , nun jauh di sana ibu mengharapkan kepulanganku menjadi anak yang boleh dibanggakan dan menjadi contoh untuk adik-adikku, tetapi aku semakin lama semakin jauh dari landasan yang sudah diatur ibu, bodoh sungguh aku ketika ini, di sini aku mula mengenal rokok, di sini aku mula mengenali ketandusan dunia luar, di sini aku mencari erti menjadi seorang dewasa sedangkan masanya bukan sekarang. Anak yang dulunya berbakat mula tenggelam di dalam mengharungi arus kehidupan…… 3tahun yang menjengkelkan..
Mendung pagi mengiringi kesuraman hati,lantunan Yasin bergema sayu
“Ibu, tadi kawan satu bilik dengan Along family dia bawakan sandwich, sedap sangat Along makan tadi bu, ada inti Tuna dalam sandwich tue, siap ada mayonis dengan timun, ibu sihat? Doakan Along jawab exam tak lama lagi, kirim salam adik-adik semua yerk” gagang telefon ku letakkan lemah, aku rindu masakan ibu, sungguh, selalunya, setiap hari lauk-pauk sentiasa berubah, menu masakan penuh dengan khasiat, penuh dengan kasih sayang, berbeza lidahku, sesedap mana pun makanan yang dihidangkan, manakan mungkin mampu menandingi ibu, sorotan mataku memandang sepi hilai tawa rakanku yang sedang dilawati keluarga di hujung dataran dewan makan. Azan berkumandang memanggilku melaksanakan tanggungjawab Muslim. Langkah ku atur perlahan menuju ke surau.
“Perhatian,perhatian kepada Ahmad Shafiq, dorm Al-Razi, sila turun ke surau kerana keluarga anda sedang menanti di bawah, diulangi sekali lagi ……. “ ah~ baru 2 hari aku menghubungi ibu, mustahil ibu datang sepantas ini, pantas ku siapkan diri, dari jauh sudah kelihatan adik-adik ku berlari-lari di sudut luar surau, hatiku gembira tidak terkata, bukannya dekat jarak rumahku dan asrama, hampir 90km jauhnya, ku lihat ibu tersenyum seperti kebiasaannya, “Along, pergi ambil sandwich kat bonet kereta, ibu ada bawakkan, kita nak makan dekat luar ke dekat dalam?” bicara ibu lembut, aku terkesima, rasa bersalah yang amat, mengapa begitu kuat sekali naluri keibuaan, keegoaan lelaki yang ku simpan hancur lebur, air mataku berderai laju, sejauh ini ibu datang hanya untuk memberikanku sandwich yang ku idamkan tetapi tidak pernah kupinta. Ibu terlalu memahami anaknya ini.
Jemaah bersilih ganti bertukar saf di dalam surau kecil, gemersik suara imam memecah suasana
“Jom wrestling ayah!!” jerit ibu, kami 4beradik sudah lali dengan arahan ini, pantas ami memaut kaki ayah, angah panjat belakang ayah, epi tarik badan ayah dan aku terus mengigit telinga ayah manja, jeritan ayah meminta tolong tidak kami endahkan, ibu memaut manja pinggang ayah, rutin kami sekeluarga pabila ada kelapangan bersama, suasana gamat,hiruk pikuk di dalam rumah tidak kami ambil kira, bahagia yang tiada penghujungnya, “ha, jgn ha~, geli!, wrestling ibu pula!!”,ibu pula digomol kami sekeluarga, hilai tawa mewarnai kehidupan kami sekeluarga, masih segar dalam ingatanku bagaimana ibu berbual kosong dengan ayah selepas membeli tilam queen berharga RM450 untuk menggantikan tilam lama di rumah kami, “ayah, ayah pernah terbayang tidak, kita dah ada kereta, kita dah ada rumah, kita dah ada televisyen, sekarang nie pun ayah dah nak beli tanah untuk rumah baru kita nanti” ujar ibu, tau ape jawapan ayah? Simple dan easy “ ha’ah, tak pernah pun terbayang arinie dapat beli tilam sampai harga RM450, kan bagus kalau kita beli 2nd hand jerk semua tue”, kami sekeluarga tertawa, sudah lali dengan sikap ayah yang sangat berjimat cermat hinggakan sayang untuk keluarkan duit, berbeza dengan ibu yang sentiasa merancang sebelum membeli sebarang item, aku kagum dengan perancangan kewangan ibuku, ibu sangat teratur, setiap langkah yang ingin diambil akan diselidik dan dikaji sedalam-dalamnya. Lumrah seorang wanita yang memikul tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
Dan pabila datang 2 malaikat bertanyakan kamu……..
Hidup tidak selalunya indah, kadangkala sinar mentari yang bersinar, tidak semestinya terbit hingga ke petang, hasad dengki seringkali menular di dalam kehidupan umat manusia sejak dahulu kala.
April 2005 segalanya berubah……
“ayah,ibu rasa ada orang terbang dalam bilik malam tadi” ujar ibu ringkas, “awak nie, malam tadi sebelum tidur ambil air sembahyang tidak? Mana ada orang boleh terbang malam-malam”.
“ayah, kenapa ibu tak boleh buang air besar? Perut bagaikan di ikat, selera makan ibu pun tidak sama macam dahulu, apa yang jadi dekat ibu?”
“ayah, ibu mimpi pelik setiap malam, kenapa dengan ibu, seluruh inci tubuh ibu bagaikan dicucuk jarum, ibu salah makan ke ayah?”
Mei 2005 bertandang
Kesihatan ibu berubah drastik, dahulunya ibu terkenal dengan ketangkasanya kini hanya mampu terbaring sahaja, tubuh ibu yang dulunya gempal berisi kini mula susut perlahan-lahan, selera makan ibu yang dahulunya normal kini hilang entah ke mana, baju berlonggok tidak berlipat, rumah bersepah tiada penyeri, menu restoran menjadi hidangan, Aku rindukan ibu.. Puas sudah ayah bawa pelusuk tempat, daripada perubatan termoden hinggakan perubatan tradisional, semuanya dijelejahi kami sekeluarga Impian kami hanya satu, untuk melihat ibu kembali pulih seperti biasa,
Jun,Julai,Ogos
Ibu terus bertahan.. ya allah. Kalau ini yang dicaturkan olehmu, kami terima dengan redha, aku tidak mampu untuk menulis..walaupun sudah lama berlalu, semuanya segar di dalam ingatan..terperinci. biar ku bogelkan disini.
September
“Doktor jangan ingat saya bodoh! Anak –anak saya semuanya pandai-pandai, otak mereka semua cerdik, satu hari nanti,jaga doctor, biar anak saya yang tebus semuanya,doctor bodoh!! jerkah ibu, kondusi ibu terlalu teruk, pipinya cengkung, tangannya melidi, ya tuhan, mengapa tidak aku yang menanggung semua ini, bukan ini yang dipinta, puas sudah doktor mendialisis ibu,pinggang ibu ditebuk, darah ibu diambil entah kali yang ke berapa, tapi penyakit yang menimpa ibu tidak mampu dikenalpasti, apakah ini semua..
Oktober 2005
Peperikasaan Sijil Pelajaran Malaysia kuharungi tanpa sebarang persediaan, tiada kelengkapan, jiwaku kosong, aku tidak tahu apa yang perlu ku jawab, usai peperiksaan, aku terus ke Johor Bahru untuk berjumpa ibu, hanya satu yang ku inginkan, ku ingin melihat senyuman ibu yang amat kurindui, aku ingin lihat ibu lepas dari seksaan, Hari Raya menjelma tiba, aku terkenang senyuman ibu kerana dibenarkan kembali ke rumah, pesan doctor kepada ayah, “jaga ibu sebaik-baiknya” , “Ayah,Along,Angah,Epi,Ami, ini mungkin raya ibu yang terakhir, ibu dah ampunkan semua dosa anak-anak ibu, ibu nak lihat anak-anak ibu Berjaya, Along, kau yang sulung, jaga ayah, jaga adik-adik, jadi insan yang Berjaya, ibu minta maaf, ibu tak mampu untuk bersama, jangan kecewakan ayah Along” sayu ibu bersuara, “ayah, nanti bila leha dah tiada, ayah juallah semua emas,cincin dan rantai leha, leha minta maaf dengan ayah, gunakan untuk belajar anak-anak, jadikan anak kita insan berjaya dunia dan akhirat, leha sentiasa ada dengan ayah”. Raya terakhir kami dapat bersama,tiada baju raya seperti kebiasaannya, tiada samping yang diikat kemas oleh ibu, tiada ketupat mahupun rending, keluarga lain gembira, kami semua berduka,setia meneman ibu untuk bertemu Ya Rabbi.. “Ustaz,jikalau sebelum ini saya pernah tinggalkan solat, apa yang perlu saya buat ustaz, jikalau ini yang ditakdirkan, saya redha ustaz, semoga keluarga saya terus bersama hingga ke akhir hayat, saya rindukan syurga tuhan ustaz” tingkah ibu sayu..
28 November 2005
9.30 malam, ibu menghembuskan nafas yang terakhir, ku lihat senyuman mengukir di wajahmu, ku lihat cahaya putih ada di wajahmu, janji tuhan itu pasti. Kita terpisah di dunia, satu hari nanti ketemu juga di alam sana. Selamat Hari Ibu. Semoga ibu mampu tersenyum di sana melihat anakmu disini yang sedang mengejar kejayaan di penghujung perjalanan. Sepi hati ayah genap 7 tahun tidak pernah dapat diisi, Along sayang sangat-sangat ibu.. Selamat Hari Ibu…
...Al-fatihah...
credit to : Ahmad Syafiq
Post a Comment