Jangkitan Penyakit di Kolam Renang



Kolam Renang yang Menarik

Jangkitan penyakit di kolam renang
EKORAN laporan media mengenai jangkitan Rotavirus di dua daerah di Perak telah menimbulkan kebimbangan masyarakat tentang penyakit 
yang boleh berjangkit melalui air.

Pada 10 Februari lepas, media melaporkan jangkitan Rotavirus telah menyebabkan kematian dua bayi berumur antara dua dan 10 bulan kerana dehidrasi disebabkan cirit-birit yang teruk.

Bila ada jangkitan virus dan bakteria 'bawaan' air, timbul pula satu persoalan - bagaimana dengan mereka dan anak kecil yang mengunjungi kolam rekreasi dan taman air? Terdapat beberapa penyakit mudah berjangkit yang wujud pertalian dengan lokasi rekreasi air seperti untuk berenang dan mandi-manda.

 Mandi sebelum masuk kolam
"Memang sukar bagi menghalang bakteria dan virus wujud dalam air kolam. Di kolam yang dikunjungi ramai orang termasuk anak kecil, tahap kontaminan (kotoran) adalah tinggi," jelas Adam Abdullah, seorang penyelia di sebuah Taman Air di Lembah Klang.

"Kami telah menasihati orang dewasa dan kanak-kanak yang tidak sihat agar jangan menggunakan kolam tetapi ramai yang tidak hirau akan nasihat ini," kata Adam, sambil menambah pengurusan kolam rekreasi telah meletak notis tentang risiko jangkitan kuman bila orang ramai menggunakan kolam untuk rekreasi.

"Kita juga menasihati pengunjung supaya mandi dahulu sebelum memasuki kolam.

"Sebaliknya, masyarakat Malaysia tidak begitu hiraukan nasihat tentang keperluan mandi dahulu sebelum masuk kolam. Tanpa mandi terlebih dahulu, mereka boleh bawa kontaminan dalam bentuk kuman dan virus yang kemudian boleh menjangkiti orang lain.

"Ada juga pengunjung yang tergamak masuk kolam dengan pakaian yang mereka pakai ketika sampai. Mereka ini tidak kisah menukar pakaian yang sesuai terlebih dahulu, ia sesuatu memang sukar walaupun ada notis yang memberitahu mereka agar berbuat demikian.

"Tidakkah mereka sedar perbuatan mereka boleh membawa virus dan bakteria masuk ke dalam kolam dan menjangkiti pengunjung lain termasuk kanak-kanak walaupun kami menggunakan sanitiser (pembersih) kolam," terang Adam.

Katanya pengurusan Taman Air menggunakan klorin bagi membersih kolam tetapi bahan ini cepat lupus jika terdapat kandungan kontaminan yang tinggi, ramai pengunjung kolam serta kesan cahaya dan haba daripada matahari.

Menurut Adam lagi, algae (atau dikenali juga sebagai lumut) boleh tumbuh dalam kolam jika terdapat kandungan urea dalam air.
"Garam urea boleh wujud dalam air melalui peluh pengunjung serta air kencing mereka. Sebab itu, semua pengunjung mestilah mandi dengan menggunakan sabun sebelum masuk kolam.

"Pengurusan kolam menyediakan bilik mandi lengkap dengan 
pancuran serta kemudahan tandas untuk pengunjung.
"Jika pengunjung gagal membersihkan diri sebelum masuk kolam, mereka akan merencatkan kualiti air. Jangan sekali-kali kencing semasa berada dalam kolam, kerana bukan hanya menggalakkan algae membiak tetapi ia akan memberi kesan terhadap bahan kimia yang digunakan untuk membersih kolam.
"Dan, mengeluarkan kencing semasa berada dalam kolam adalah sesuatu perkara yang amat tidak 'higin' (bersih)," katanya. – Bernama


Risiko mandian rekreasi
PENGURUS hotel di sebuah resort, yang hanya mahu dikenali sebagai Eirene, berkata, dengan mengambil kira faktor-faktor ini, ada pihak penjagaan kolam memasukkan lebih klorin bagi menghindari berlakunya jangkitan penyakit.
Ini menimbulkan satu dilema – klorin boleh menyebabkan masalah kesihatan dan terlebih menggunakannya perlu dijauhi, menurut pakar-pakar penjagaan kesihatan.
Mereka juga menjelaskan bahawa antara penyakit yang boleh berjangkit kerana air kolam yang kotor adalah gastroenteritis, demam kepialu, taun dan hepatitis A.
Pegawai perubatan, Dr. Bernice Wong menjelaskan, aktiviti yang sepatutnya menyeronokkan dan selamat iaitu mandi rekreasi kini sudah bertukar menjadi satu risiko kesihatan.

“Mandi rekreasi termasuk berendam dalam kolam, spa dan kolam air panas selain daripada berenang di tasik, sungai, laut dan taman air.
“Orang akan sakit apabila terminum air yang telah tercemar walaupun air itu telah dirawat dengan klorin atau sanitizer lain,” terang beliau.
Menurut pihak pengurusan hotel dan taman air, mereka biasanya menggunakan natrium hipoklorit bagi tujuan merawat air di kolam.
Kuman tidak akan berupaya membina ketahanan terhadap larutan ini dan natrium hipoklorit juga digunakan bagi tujuan oksidasi pencemar seperti air  kencing, peluh dan bahan kosmetik.


Utusan Malaysia
Khamis, 15/03/2012
Sumber : Myhealth



7 comments

LiNda said...

bahayanye..sebb tu kalo blh jgn gi mandi manda kat kawasan rekreasi..

Feroz Othman said...

hehehe.. a'ahh tpi kalu btoi2 dijaga ok ja :)

http://jobfair-online.blogspot.com said...

nice info

Feroz Othman said...

tq

Widodo said...

makasih sob infonya

Izzuddin Fauzi said...

Huwa2.... Nie takut nak pg mandi...

AbgferOz said...

widodo : ya welcome :)

izzudin : hahaha kolam takyah la nak mandi sngat :) tpi rasanya bdak2 je tuh.. org dewasa antibodi dah kuat :P

Powered by Blogger.